selamat datang










Sunday 8 May 2011

Bendi

Salam .
Sempena hari ibu ini teringat pula saya masakan emak  yang  suka sangat campurkan  bendi  dalam masakan. Kalau masa kecil dahulu hari isnin bendi, hari selasa bendi, hari rabu bendi hari-hari atas meja pun ada bendi. Oleh itu hari ini entry saya adalah mengenai sayur kegemaran saya yang satu ni. Iaitu bendi.  Hmm sayur  bendi??
Bendi adalah sejenis sayur yang begitu popular di Malaysia . Dalam masakan melayu terutamanya dalam  masakan asam pedas, kari, tempoyak dan sebagainya biasanya pasti akan ada campuran sayur bendi dalam masakan tersebut. Selain itu bendi juga gemar dijadikan sebagai ulaman terutamanya dalam kalangan masyarakat kampong.
Bendi memang banyak khasiatnya, kata orang memakan bendi elok untuk perkembangan minda. Mungkin ada betulnya kerana menurut artikel yang saya baca menyatakan bendi mengandungi dua peratus protein, tujuh peratus karbohidrat dan satu peratus serat. Selain itu bendi juga dikatakan kaya dengan zat galian dan vitamin terutamanya kalsium.
Dalam bidang perubatan tradisional pula , bendi telah digunakan sebagai alternatif merawat pesakit yang menghadapi masalah penyakit kencing tidak lawas, merawat gonorea, siflis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.
Menurut artikel yang saya baca itu lagi, bendi dipercayai berasal dari Afrika Utara dan kini banyak ditanam di Negara-negara Asean termasuk Malaysia. Ia adalah sejenis tanaman sayur yang berlendir dan mudah ditanam. Hal ini kerana bendi boleh ditanam dalam pelbagai jenis tanah seperti ianya boleh ditanam di dalam tanah gambut, tanah liat, tanah gembur berpasir dan di tanah-tanah lembab sungai yang bersaliran baik.
Kalau anda semua hendak tahu, bahan pemekat yang terdapat dalam sos tomato adalah diperbuat daripada lendir bendi ini. Manakala di india, batang-batang  bendi yang telah tua akan dijadikan sebagai kertas. Manakala  biji-biji yang sudah tua pula akan dijadikan sebagai minuman harian mengantikan kopi.
 Bendi ini memang banyak nilai kormesialnya. Oleh itu jikalau ada sesiapa yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang pertanian,eirfasdhomBlog mencadangkan lebih baik anda menceburi diri dalam  bidang tanaman bendi ini kerana seperti  yang saya katakan tadi ianya merupakan satu tanaman yang mudah.
 Berikut antara tips memulakan perniagaan bendi mengikut satu artikel yang saya baca:
·         Pelajari dahulu teknik penanaman bendi dengan mengikut seminar atau kursus yang sering dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta .
·         Pastikan anda mahir tentang penanaman bendi dan mampu menguruskannya jika berlaku masalah seperti tanaman mati, diserang penyakit dan sebagainya.
·         Sasaran pelanggan perlulah individu yang sesuai seperti peniaga pasar  atau kedai runcit, pemborong dan peniaga restoran.
·         Anda perlu bijak membida harga kerana biasanya pelanggan akan menawarkan harga sangat rendah.
·         Sentiasa peka dengan harga pasaran kerana harga sering berubah-rubah.
·         Perlu banyakkan hasil tanaman pada musim perayaan kerana permintaannya amat tinggi ketika ini.
·         Pastikan hasil tanaman bendi ini berkualiti bersih dan terhindar daripada sebarang pencemaran bahan kimia.
·         Beri layanan mesra ketika berurusan.
·         Sediakan modal dalam anggaran RM 10,000.
Kesimpulannya di sini jika anda ingin sihat dan ingin menjaganya dalam aspek pemakanan? Sayur bendi adalah antara jawapan yang terbaik untuk anda. Dan jikalau anda ingin memulakan perniagaan tani atau minat bertani? Sayur bendi juga adalah antara jawapan terbaik untuk anda menceburi diri dalam bidang ini. Oleh itu, tepuk dada tanya selera. 
Wassalam.

2 comments: