selamat datang










Monday 16 May 2011

Hari Guru

Salam

Hari ini tanggal 16 Mei genaplah 40 tahun warga pendidik diraikan dalam satu hari yang di sambut saban tahun bagi mengenang jasa dan  pengorbanan mereka. Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah “ Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” dan bagi sambutan Hari Guru Peringkat  Kebangsaan pula akan bakal di adakan di Sarawak.

Bila sebut hari guru pasti saya akan teringatkan kenangan di zaman persekolahan. Waktu sekolah dulu tidak semua guru yang saya suka dan tidak semua guru pula yang saya tidak suka. Guru yang berpewatakan garang dan tegas mungkin  ramai pelajar  termasuk saya tidak gemari di sekolah manakala guru yang berpewatakan humor ketika mengajar pasti akan menjadi guru kegemaran ramai.  Begitulah waktu di sekolah dulu. Tetapi setelah meningkat dewasa baru saya sedar guru yang garang dan tegas pada saya itulah sebenarnya yang telah berjaya mendidik saya menjadi insan yang berguna pada hari ini. Guru yang selalu memarahi saya dan mengambil tindakan disiplin itulah sebenarnya ikhlas mendidik saya.  Walaupun mereka tahu tindakan mereka itu akan dibenci pelajar namun mereka tetap tegas melaksanakan tanggungjawab mereka.

Memang benar saya rimas dengan guru yang suka membebel sama ada di dalam atau di luar sesi pembelajaran, kadang-kadang apa yang di leterkan tiada bersangkut paut pun dengan subjek yang di ajar. Saya juga tidak suka guru yang  mengambil tindakan disiplin terhadap saya, puncanya kerana datang lewat ke sekolah, ponteng sekolah, bergaduh, pakaian uniform yang tidak lengkap, tiada kekemasan diri dan pelbagai kesalahan yang lain. Walaupun pada dasarnya memang sepatutnya saya di marahi namun itulah pemikiran jumud saya pada zaman persekolahan dulu. Kini baru saya sedari bertapa leteran, nasihat dan tindakan  yang di ambil itulah yang selalu saya ingat sampai ke hari ini berbanding dengan isi kandungan subjek yang di ajar kepada saya. Setiap apa yang saya lalui hari ini pasti saya akan ingat kembali peristiwa guru memarahi saya dan setiap itu jugalah saya mulai sedar bahawa  setiap apa yang diperkatakannya dahulu adalah benar. 

Kegagalan  yang   pernah  saya alami beberapa tahun dahulu telah menyedarkan saya betapa ilmu yang telah di curahkan kepada saya itu tidak akan datang sendiri tanpa adanya usaha dari seorang guru yang mengajar saya.  Apabila kita tidak ambil peduli apa yang disampaikan oleh guru mustahil kita dapat memperolehi ilmu itu dengan mudahnya dan apabila kita mengendahkan apa yang di sampaikan guru akhirnya kegagalanlah yang akan kita perolehi. Itulah yang telah berlaku kepada saya. Dan kini setiap ilmu pembelajaran yang telah diajarkan kepada saya itu sudah tiada gunanya lagi  kerana peperiksaan telah pun berlalu dan tinggalah keputusan yang cukup-cukup makan, itulah akibatnya  kerana tidak endahkan nasihat guru dahulu . Namun  apabila saya mengingati semula leteran, nasihat dan tindakan disiplin guru yang pernah di ambil terhadap saya, ianya yang telah membuatkan saya kembali bangkit untuk mengakhiri kegagalan ini. Saya mula belajar daripada kesilapan yang lalu dan menjadikannya kekuatan untuk menjadi seorang yang mengejar kejayaan.

Berbalik kepada sambutan Hari Guru pada tahun ini, dengan temanya “Guru Menjana Transformasi Pendidikan Negara". Apakah rasionalnya tema ini dan apakah benar guru berperanan dalam mengubah hala tuju pendidikan negara. Jawapan saya mestilah benar, kerana guru adalah penggerak utama dalam pendidikan negara. Kerajaan atau Kementerian Pelajaran hanya membuat dasar atau perancang tetapi yang melaksanakanya mestilah para guru. Kementerian hanya boleh memberi dana seperti mamperbaiki atau menambah kemudahan sekolah serta menyediakan  kaedah pembelajaran dan pengajaran semasa dan sebagainya tetapi jikalau tiada respon atau usaha daripada para guru mustahil agenda pendidikan negara akan tercapai.

 Hal ini  kerana guru adalah penghubung atau penggerak kepada sistem pendidikan yang telah dibuat oleh kerajaan dan akan menjadi orang yang bertanggungjawab untuk  menyampaikannya kepada para pelajar. Sebagai contohnya jika  dasar kerajaan ingin semula mengunakan Bahasa Inggeris dalam pembelajaran Sains dan Matematik ini bermakna guru itu perlulah berusaha meningkatkan semula  kemahiran dan penguasaannya dalam bahasa tersebut tetapi sebaliknya jika tidak berbuat demikian maka apa yang dirancangkan oleh kerajaan pastilah akan menjadi sukar dan gagal.


Kita harus akui tanggungjawab dan fungsi guru harus dipandang tinggi dan iktiraf, bukan sahaja sebagai penyampai  ilmu malah sebagai penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai juga agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara iaitu dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh serta berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat. Oleh itu kerajaan perlulah memantapkan sistem pendididkan  negara dengan memantapkan efisyen perguruan dahulu, kerana ia akan menjadi sebagai penentu kemajuan dan kemakmuran negara, sekali gus menjadi peneraju dalam membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Tema hari guru pada tahun ini juga adalah selari dengan Program Transformasi Kerajaan yang dalam pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang telah menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan Di Malaysia. Sasaran utamanya adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar. Selain itu Kementerian pelajaran juga dilaporkan telah menggariskan empat perkara sebagai fokus utama sebagai bidang keberhasilan utama iaitu perluasan pra sekolah,  Literasi dan Numerasi ( Linus), Sekolah Berpretasi Tinggi dan Tawaran Baru Pengetua dan Guru Besar.

Menurut akhbar yang saya baca hari ini melaporkan bagi mencapai dasar dan sasaran dalam system pendidikan Negara ini, Kementerian Pelajaran akan  memastikan jasa dan pengorbanan guru akan dihargai dengan menawarkan pelbagai insetif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan yang disalurkan akan dilakukan menerusi pelbagai usaha, malah akan di buat secara menyeluruh tanpa garis sepadan. Contohnya seperti konsep pendemokrasian pendidikan yang sentiasa akan dipraktikan oleh pihak Kementerian untuk membolehkan para guru berpeluang megikuti pendidikan yang berkualiti secara sama adil tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi dan bangsa.Ini semuanya dilakukan bagi memastikan transformasi dalam pendidikan terus berlaku.

Kesimpulannya di sini ialah jelas sekali guru memang memainkan peranan yang besar terhadap pembangunan sumber manusia dan kemajuan negara. Oleh itu adalah wajar jasa dan pengorbanan guru harus kita hargai dengan sebaiknya. Kita perlu ingat penentu kejayaan sesebuah negara itu terletak kepada kualiti sistem pendidikannya dan kita juga perlu sedar berjaya atau tidak sistem pendidikan yang dibuat adalah terletak kepada kredibiliti pelaksananya iatu para guru dan semoga usaha kerajaan untuk meningkatkan profesionalisme guru akan mengangkat martabat perguruan sekali gus mengangkat juga martabat pendidikan negara. Akhir sekali kepada semua warga pendidik SELAMAT HARI GURU.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment